Sabtu, 21 September 2013

5.0 STRATEGI MENGATASI MASALAH MURID PEMULIHAN DALAM MENGUASAI KEMAHIRAN MATEMATIK.

Guru pemulihan memainkan peranan penting untuk menyampaikan ilmu matematik kepada murid pemulihan. Guru juga perlu membimbing murid pemulihan untuk cara mengaplikasikan matematik dalam kehidupan sehariannya. Antara masalah yang dihadapi oleh murid pemulihan adalah tidak dapat menentukan masa dan waktu, sukar untuk menimbang dan menyukat barang serta dengan  masalah mengira wang.

Pertama sekali, langkah yang boleh guru laksanakan untuk mengajar menentukan masa dan waktu kepada murid pemulihan adalah melalui penggunaan model jam. Guru boleh menggunakan model jam untuk mengukuhkan konsep jam supaya murid dapat mempraktikkan kemahiran yang baru belajar pada alat maujud. Guru boleh membekalkan murid model jam dan minta murid memutarkan jarumnya mengikut saat, minit dan jam yang dinyatakan oleh guru. Justeru, murid boleh mengaplikasikan ilmu tersebut sewaktu berada di rumah.

Manakala untuk mengajar waktu pula, guru pemulihan boleh mengadakan aktiviti kumpulan. Salah satu cadangan saya ialah murid dibahagikan kepada kumpulan kecil. Murid diminta bertanya rakan-rakan dalam kumpulan baharu tentang bulan kelahiran mereka dan mencatatnya pada sekeping kertas yang disediakan. Semua murid kembali ke kumpulan asal dan membentangkan hasil dapatan masing-masing. Seterusnya, guru akan membekalkan setiap kumpulan satu kalendar lengkap dari bulan januari hingga disember. Murid perlu mencatatkan bulan-bulan tersebut pada kalendar. Akhirnya, murid diminta menyebut dan mengeja nama setiap bulan secara berulang kali. Di samping itu, guru juga boleh mengajar murid lagu yang mempunyai turutan bulan-bulan supaya mereka boleh mengingati dengan lebih mudah. Aktiviti sebegini dipilih bagi membolehkan murid meneroka sendiri nama-nama bulan yang ada supaya mereka boleh mengingatnya dengan lebih baik. Mankala menghafal bulan dengan cara menyanyi dapat menarik minat murid dan membantu murid mengingatinya dengan lebih berkesan.

Seterusnya, masalah murid pemulihan dalam mengenal konsep wang dan cara mengaplikasinya dalam kehidupan seharian. Walaupun kanak-kanak telah mengenal konsep wang sejak kecil, bagi murid pemulihan mereka merasa sukar menguasai kemahiran topik wang. Menurut Borich dan Tombari (1997), konstruktivisme adalah pendekatan pembelajaran yang menyediakan peluang kepada murid untuk membina kefahaman terhadap perkara yang dipelajari dengan mewujudkan jaringan atau hubungan dalam minda antara idea dan fakta yang sedang dipelajari. Salah satu aktiviti yang saya ingin cadangkan adalah teknik simulasi. Simulasi bermaksud teknik yang melibatkan murid memainkan peranan seolah-olah berada dalam keadaan sebenar. Percubaan untuk menyamakan keadaan sebenar dapat dilaksanakan supaya murid dapat menguasai konsep yang diajar serta berupaya untuk memindahkannya ke situasi sebenar.  Simulasi boleh dilaksanakan dalam bentuk permainan, permasalahan, berbentuk persaingan atau koperatif. Sebagai contohnya, guru boleh mewujudkan situasi jual beli di dalam kelas. Guru akan menjadi sebagai peniaga manakala murid akan menjadi pembeli. Guru akan melaksanakan urusan jual beli bersama murid dengan menggunakan wang dan duit syiling.

Pada pendapat saya, simulasi ini akan menjadi pengalaman yang baik kepada murid pemulihan supaya mereka boleh menerapkan dalam kehidupan seharian. Mereka akan tahu cara menggunakan duit dalam urusan jual beli. Di samping itu, guru juga boleh menyelitkan nilai murni seperti amalan jimat-cermat. Melalui ini, murid-murid akan medapat satu pendedahan bahawa wang memainkan peranan yang penting dalam kehidupan.

Selain itu, pada peringkat awal, murid biasanya mempunyai konsep yang kurang mantap tentang ukuran dan sukatan. Misalnya, ramai murid masih tidak sedar tentang keabadian ukuran dan sukatan. Mereka juga mungkin menghadapai kesukaran mengamati keabadian dalam isipadu cecair. Contohnya isipadu cecair akan berubah apabila cecair itu dituangkan ke dalam bekas yang berlainan bentuk dan saiz.

Kesilapan ini dapat diatasi apabila kebolehan kognitif murid semakin berkembang di samping melalui pengalaman yang berkaitan. Kesedaran guru terhadap masalah murid dalam keabadian ukuran dan sukatan tentulah akan dapat membantu guru dalam perancangan dan pelaksanaan aktiviti pengajaran dan pembelajaran.

   Guru seharusnya merujuk kepada teori Jean Piaget untuk mengetahui dengan lebih mendalam tentang pengamatan kanak-kanak dalam ukuran dan sukatan. Pembelajaran tentang ukuran dan sukatan boleh menjadi satu pengalaman yang menarik jika seorang guru dapat :
  • Memberi peluang kepada murid menganggarkan sesuatu kuantiti fizikal sebelum aktiviti mengukur.
  • Merancang aktiviti yang membolehkan murid merekod hasil ukuran dan sukatan dengan membina jadual secara individu, kumpulan atau kelas.
  • Memberi pengalaman kepada murid dalam penyelesaian masalah supaya dapat menggunakan kemahiran mengukur dan menyukat dalam situasi kehidupan seharian.
Anggaran harus diberi penekanan semasa menjalankan aktiviti mengukur dan menyukat. Murid digalakkan menganggar suatu ukuran dan sukatan, kemudian membandingkannya dengan ukuran yang sebenar. Melalui penganggaran dan penyemakan dengan ukuran sebenar, murid dapat memahami dengan jelas tentang apa yang diukur dan unit yang digunakan.
Guru hendaklah memberi penekanan pengalaman yang boleh membantu murid mengembangkan kefahaman tentang ukuran dan sukatan. Beberapa perbendaharaan kata yang berkaitan dengan ukuran dan sukatan seperti berat-ringan, banyak –sedikit dan sebagainya harus diperkenalkan sebagai perbendaharaan praukuran dan sukatan. Ukuran dan sukatan memberi peluang kepada guru melibatan murid dalam pelbagai aktiviti. Kebanyakan pengajaran dan pembelajaran tentang ukuran dan sukatan haruslah berpusat kepada aktiviti murid. Aktiviti yang boleh dijalankan termasuklah menyukat isipadu cecair. Contoh masalah rutin ialah  seorang penjual susu hanya mempunyai bekas yang boleh menyukat 3 liter dan 5 liter cecair. Bagaimanakah dia hendak menyukat susu sebanyak 7 liter dengan tepat?
Dalam aspek menguasai kemahiran pranombor iaitu untuk membolehkan murid ini dapat membilang angka berdasarkan objek, guru haruslah merancang strategi pengajaran dan pembelajaran yang berkesan demi membantunya. Misalnya, bagi  memudahkan murid pemulihan memahami konsep membilang angka berdasarkan objek guru boleh menggunakan bahan konkrit. Sebagai contohnya, guru boleh menyuruh murid untuk membilang ada berapa batang pensel. Dengan ini, murid itu dapat memahami cara membilang dengan menggunakan objek secara mudah sahaja. Di samping itu, disebabkan ada murid yang mengalami kelemahan dalam melengkapkan nombor secara menaik maka guru haruslah mengutamakan aktiviti yang sesuai supaya mereka dapat menguasai untuk melengkapkan  nombor secara menaik.

    Oleh itu, guru juga boleh melaksanakan aktiviti permainan matematik yang melibatkan penggunaan nombor dalam konsep menaik dan menurun. Misalnya, permainan Snake and Ladder. Melalui cara bermain, murid akan dapat mengetahui bagaimana hendak menggerakkan token mainan mengikut nombor yang didapati dalam balingan dadu tersebut. Melalui pergerakan dadu, mereka dapat belajar konsep menaik dan menurun secara tidak langsung. Dari segi pengamatan pendengaran pula, bagi memastikan murid pemulihan dapat mengenal arah kiri dan kanan, aktiviti Shoulder Game boleh dilakukan di mana minta murid memegang bahu rakannya dan memberi arahan untuk bergerak dari kiri ataupun kanan.


    Selain daripada itu, guru juga boleh mengaplikasikan kaedah polya dalam mengatasi masalah matematik dalam kalangan murid pemulihan. Menurut model Polya, penyelesaian masalah boleh dilaksanakan melalui empat peringkat iaitu memahami dan mentafsir sesuatu masalah dalam matematik. Seterusnya, merancang strategi penyelesaian seperti membuat simulasi, melukis gambar rajah, mengenal pasti pola dan cuba jaya. Setelah merancang strategi penyelesaian guru boleh melaksanakan strategi tersebut dan akhirnya menyemak semula penyelesaian tersebut untuk menentukan sama ada jawapannya munasabah atau tidak. Kaedah ini sangat sesuai diaplikasikan bagi menyelesaikan masalah dalam operasi asas matematik. Ia juga membantu murid untuk menyelesaikan masalah-masalah yang dialami dalam kehidupan sehariannya bukan sahaja untuk operasi matematik.


    Strategi yang seterusnya adalah kaedah Newman. Kaedah ini boleh dimanfaatkan untuk mengenal pasti punca kesilapan dan kesalahan murid-murid khususnya dalam penyelesaian masalah (Newman;1977). Ujian rujukan kriteria hendaklah diberi keutamaan dan dilakukan secara formatif. Model berasaskan teori Newman (1977) mendefinisikan lima kemahiran membaca spesifik bagi penyelesaian masalah matematik iaitu membaca (decoding), pemahaman, transformasi, kemahiran proses dan encoding. Langkah pelaksanaan kaedah ini terhadap murid adalah, pertama sekali guru perlu bercakap kepada murid dengan mesra, ringkas bagi memberi keselesaan kepadanya. Jelaskan tujuan guru bercakap dengannya adalah untuk membantunya dalam Matematik. Selepas itu, beritahu murid yang guru mahukannya untuk membuat beberapa masalah matematik terdahulu sekali lagi. Guru sediakan murid dengan kertas soalan dan kertas jawapan yang baru dan minta dia menjawab semula soalan terdahulu yang pernah dibuatnya tetapu jawapan salah. Setelah sudah menjawab, tanya murid beberapa atau semua soalan atau arahan Newman yang bersesuaian. Guru perlu mengelakkan membantu murid dalam apa-apa peringkat tetapi buat catatan ringkas tentang jawapan murid yang sangat revealing. Akhirnya, tentukan mengikut klasifikasi ralat Newman iaitu guru dapat mencari di mana murid tidak boleh membuat latihan pada peringkat awal ujian.


    Kesimpulannya, ibu bapa dan pihak sekolah juga memainkan peranan yang penting dalam menangani masalah murid dalam subjek Matematik. Sokongan ibu bapa amat dialu-alukan untuk mengambil bahagian sepenuhnya bagi membantu kanak-kanak bermasalah pembelajaran. Ahli keluarga mestilah sentiasa merujuk kepada guru kelasnya untuk mengikuti perkembangan anak di sekolah dan ibu bapa perlulah mengajar anak-anaknya dengan memberi pendedahan tentang pengiraan matematik melalui permainan. Ibu bapa juga haruslah memberi peluang kepada mereka untuk berhadapan dengan pengiraan dan perhitungan dalam aktiviti seharian. Seterusnya, guru-guru juga perlu mengamalkan cara mengajar yang lebih bersistematik. Guru perlu mula mengajar daripada konkrit, piktorial dan akhirnya kepada simbol atau abstrak. Guru patutlah menggunakan strategi yang pelbagai dan sumber bahan yang bersesuaian untuk meningkatkan tahap kefahaman dan pencapaian murid. Pihak sekolah juga hendaklah mengambil berat terhadap murid-murid pemulihan yang menghadapi masalah pembelajaran Matematik. Pihak sekolah boleh menyarankan aktiviti-aktiviti atau program yang boleh meningkatkan keupayaan murid dalam Matematik. Elakkan daripada menyisihkan murid-murid tersebut daripada kalangan murid yang berkelas perdana. strategi-strategi yang telah disarankan memang memberi kesan yang baik jika ia diaplikasikan secara berterusan dan dengan cara yang betul.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan