Sabtu, 21 September 2013

4.0 MASALAH MURID PEMULIHAN DALAM MENGAPLIKASIKAN MATEMATIK DALAM KEHIDUPAN SEHARIAN.

            Murid pemulihan menghadapi beberapa masalah dalam mengaplikasikan matematik dalam kehidupan sehariannya. Hal ini disebabkan mereka mengalami masalah dalam kemahiran mengira. Kemahiran mengira adalah asas dalam konteks matematik. Sebelum murid pemulihan mengaplikasikan matematik dalam kehidupannya mereka haruslah mahir dalam pembelajaran matematik. Mereka haruslah menguasai operasi tambah, tolak, darab dan bahagi supaya dapat menerapkan konsepnya dalam kehidupan.

Pertama sekali, masalah diskalkulia dalam kalangan murid pemulihan. Merujuk isitilah sastera, “Dys” dalam bahasa Greek bermaksud kesukaran, “Calculia” dalam bahasa Latin bermaksud pengiraan. Maka Diskalkulia didefinisikan sebagai masalah pembelajaran spesifik yang mempengaruhi pemerolehan atau pembelajaran kemahiran aritmetik (Wikipedia, 2008).  Menurut Department for Education Skills 2001 diskalkulia diterangkan sebagai sesuatu keadaan yang mempengaruhi keupayaan menguasai atau memperoleh kemahiran aritmetik. Kanak-kanak seperti ini  mengahadapi masalah dalam memahami konsep nombor yang mudah, kekurangan kefahaman intuisi terhadap nombor, dan bermasalah dalam mempelajari fakta nombor dan prosedur-prosedur. Sebagai contohnya, mereka 4+5 = 9, tetapi tidak dapat mentafsirkan bahawa 5+4=9. Walaupun mereka dapat menghasilkan jawapan yang betul, tetapi mereka melakukannya dengan tanpa keyakinan diri. Berdasarkan pengalaman saya, sebelum ini saya pernah melawat Pusat Disleksia di Ampang, Kuala Lumpur untuk mengumpulkan maklumat tentang masalah murid disleksia serta antara intervensi yang mereka aplikasikan untuk memulihkan kanak-kanak tersebut. Di sana saya juga dapat memerhatikan kanak-kanak yang mempunyai masalah diskalkulia.Guru-guru yang berkhidmat di sana telah menggunakan pelbagai jenis kaedah, bahan dan terapi untuk memulihkan masalah pembelajaran murid tersebut.

        Masalah diskalkulia ini menyebabkan murid-murid pemulihan mengalami kesukaran dalam menguasai kemahiran operasi asas matematik. Ia menyebabkan murid-murid tidak dapat menghitung dengan betul apa-apa jua benda yang diberikan. Dalam kehidupan seharian pula, dia tidak dapat membeli sesuatu benda dalam kuantiti yang betul. Kelemahannya akan menjadi kekuatan kepada orang lain. Hal ini menyebabkan mereka mudah ditipu oleh orang lain. Selain itu, masalah ini juga mengakibatkan murid pemulihan tidak dapat mengira wang dengan betul. Mereka tidak menghargai nilai wang dan menggunakannya secara sewenang-wenangnya.

         Masalah yang seterusnya adalah murid pemulihan masih lagi tidak menguasai kemahiran pranombor. Konsep pranombor yang perlu diajarkan kepada murid-murid pemulihan melibatkan konsep asas terhadap mengenal dan memahami warna, saiz, dan bentuk sesuatu objek. Murid-murid yang mengalami kesukaran dalam konsep pranombor tidak dapat membezakan antara warna, saiz sesuatu gambar dan juga suaikan bentuk yang sama. Di samping itu, murid pemulihan juga sukar untuk mengenali nombor asas 0-9 dan mudah lupa nombor-nombor tersebut. Manakala, aktiviti pengelasan adalah proses yang penting untuk membentuk konsep nombor. Proses pengelasan perlu melalui beberapa tahap iaitu memilih dan membanding, mengumpul, memilih semula, mengasingkan kumpulan, dan memilih objek berdasarkan fungsi dan kegunaan. Malah, murid pemulihan ada yang masih lagi tidak dapat menguasai aspek-aspek tersebut.

        Masalah tersebut menyebabkan murid pemulihan tidak dapat mengkelaskan sesuatu benda mengikut warna, saiz dan bentuk dalam kehidupan sehariannya. Mereka juga tidak dapat mengukur, menyukat dan menimbang barang-barang dibeli. Impaknya ia boleh menjejaskan masa depan murid pemulihan. Mereka tidak dapat melibatkan diri dalam bidang yang sesuai. Seperti mana yang kita bincangkan di atas, pada masa kini kebanyakan bidang memerlukan pengetahuan matematik asas. Tanpa pengetahuan matematik mereka sukar melibatkan diri dalam sesuatu bidang. Ia akan menggelapkan masa hadapan murid pemulihan.

            Seterusnya, bah kata pepatah “masa itu emas” menyatakan bahawa masa mempunyai nilai yang berharga dan kita haruslah menjaga masa dengan baik. Malah, murid pemulihan pula mengalami masalah untuk menentukan waktu atau masa juga. Mereka tidak dapat menentukan masa dengan betul berdasarkan jam,minit dan saat.

Lantaran itu, faktor dalaman juga mempengaruhi kesukaran menguasai subjek Matematik. Murid pemulihan mengalami masalah dari segi fizikal iaitu cacat pendengaran, masalah pengamatan, ketidakselarasan antara mata dan tangan. Kesannya adalah murid pemulihan sukar untuk mempelajari, memahami, dan mengadaptasikan pengetahuan Matematik yang telah dipelajari ke dalam kehidupan seharian. Di samping itu, murid-murid ini juga mengalami kesukaran untuk mengawal koordinasi motor halus dan kemahiran persepsi penglihatan kerana agak lemah untuk mengawal secara total pergerakan mata serta refleksi otot-otot yang terlibat semasa menulis seperti otot lengan, tangan dan jari. Murid yang mengalami masalah pengamatan juga tidak boleh mengesan jarak antara nombor, menulis nombor di atas garisan dan terbalik.

     Selain daripada itu, faktor luaran juga mempengaruhi masalah pembelajaran dalam Matematik. Terdapat segelintir guru yang tidak dapat menyampaikan maklumat yang berkaitan Matematik dengan sempurna dan tersusun. Sekiranya  guru yang mengajar tidak dapat memberikan pengalaman yang cukup dengan menggunakan alat-alat yang dapat memberikan kefahaman yang lebih, maka sudah tentu konsep Matematik yang abstrak agak sukar untuk dikuasai dan sukar untuk menarik minat para pelajar. Hal ini menyebabkan murid pemulihan hilang minat dalam subjek Matematik kerana menganggap topik-topik Matematik amat sukar untuk dikuasai. Selain itu, persekitaran bilik darjah yang tidak kondusif iaitu jarak di antara papan hitam dan kedudukan murid kadang kala tidak diambil kira oleh para guru ketika proses pengajaran dan pembelajaran dijalankan.

      Kesimpulannya, setiap masalah boleh ditangani melalui menggunakan strategi dan kaedah yang sesuai. Guru-guru, ibu bapa dan juga pihak sekolah perlu menitikberatkan masalah-masalah yang dihadapi oleh murid pemulihan dalam matapelajaran matematik supaya dapat dipulihkan dengan segera tanpa ia menjadi lebih serius.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan